Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh
Saya memanjatkan setinggi kesyukuran kehadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan inayahNya dapat saya mencoretkan sepatah dua kata untuk ruangan ini disamping kita dapat bersama-sama menempuh alaf baru(abad 21) dengan penuh sabar, tenang dan cekal. Kesabaran dan kecekalan di samping mempunyai sikap tanggungjawab dan amanah adalah faktor terpenting untuk mencapai hasrat yang dicita-citakan, selain sedia menghadapi segala cabaran yang mendatang.
Maka dengan semangat ini, saya berharap kita sebagai kakitangan akademik dan staf sokongan yang merupakan anggota keluarga SK Bandar T6 perlu merealisasikan semua perancangan, program dan matlamat yang disasarkan untuk perancangan masa pendek dan panjang sekolah khasnya dan KPM, JPM,PPD amnya untuk memartabatkan wawasan Pendidikan Kebangsaan ke taraf pendidikan dunia.Dengan itu, semangat bekerja dengan ikhlas, gigih dan tanpa jemu sebagai satu pasukan perlu diteruskan.
Saya berharap pada tahun 2008 ini, kita juga akan terus meningkat imej dan prestasi akademik, kokurikulum
serta sahsiah pelajar-pelajar selain menjaga dan mengekal nama baik sekolah dalam semua aspek menerusi
program dan aktiviti yang membina dan positif.
Pihak sekolah akan sentiasa menerima teguran,bimbingan,sokongan dan kerjasama daripada pihak JPM, PPD,
PIBG, Agensi / Badan Luar dan pemimpin masyarakat setempat untuk meningkatkan lagi kualiti sekolah ini ke tahap yang lebih baik.
Oleh itu, sama-samalah kita curahkan sepenuhnya jasa bakti kita untuk anak bangsa, negara dan agama.semoga segala usaha kita akan mendapat keredhaan, keberkatan Allah menerusi petunjukNya.
Sekian, terima kasih,
BERKHIDMAT UNTUK NEGARA
……………………………………..
TUKIJAN MASBOR
Guru Besar
SK Bandar T6, Kluang